“Saya bayi umur 10 hari yang ditinggalkan di perhentian bas 23 september 1996 lalu,” lelaki ini mahu cari ibu kandungnya

Loading...

Seorang lelaki yang mencari ibu dan bapa kandungnya tular di laman sosial selepas dia memuat naik keratan akhbar mengenai dia yang pada masa itu berusia 10 hari ditinggalkan di perhentian bas di Kampung Megat, Jalan Maran, dekat Tasik Paya Bungor, Kuantan pada 23 September 1996.

“Menitis air mata saya apabila mendapat tahu saya dijumpai di perhentian bas. Bagaimanapun, pasti ada sebab mengapa ibu bapa kandung saya buat begitu,” kata Mohamad Putera Zainuddin, 21 yang sedang menuntut di Kolej Perubatan di Seremban, Negeri Sembilan.
Auto Draft
Menurut Mohamad Putera, dia telah pergi ke Rumah Kanak-Kanak Tengku Ampuan Fatimah, Kuantan  yang menjadi tempat tinggalnya sebelum dijaga oleh keluarga angkatnya pada Jun lalu selepas tergerak hati untuk menjejaki semula ibu dan bapa kandungnya.

“Keluarga angkat mengambil saya sebagai anak angkat sejak saya berusia sembilan bulan lagi. Ibu bapa angkat saya memang berterus-terang memberitahu saya adalah anak angkat sejak di tadika lagi

“Saya boleh menerima kenyataan itu,” katanya yang juga anak tunggal dalam keluarga angkatnya itu.
Auto Draft
Foto: Mohamad Putera bersama ibu angkatnya.

Bagaimanapun, jauh di sudut hati lelaki yang dibesarkan di Muar, Johor ini, dia ingin mengetahui keadaan kedua ibu bapanya sama ada masih hidup.

“Saya kembali ke Rumah Kanak-kanak Tengku Ampuan Fatimah untuk membuka semula fail saya bagi mendapatkan petunjuk lokasi tempat tinggal ibu bapa saya.

“Bagaimanapun, kakitangan rumah kanak-kanak itu hanya menyerahkan fail sebelum meminta saya baca sendiri,”katanya yang dipetik dari laporan Harian Metro.

Jelas Mohamad Putera, hatinya menjadi luluh selepas membaca keratan akhbar yang disimpan di dalam buku rekod berkenaan.
Auto Draft
“Saya ingat akan jumpa keluarga kandung dengan mudah sebaik melihat rekod berkenaan, namun sangkaan saya meleset.

“Tak sangka, saya dijumpai di perhentian bas oleh seorang bidan kampung atau kini dikenali jururawat masyarakat ketika berusia 10 hari,”ujarnya.

Tidak pernah menyalahkan tindakan ibu dan bapa kandungnya itu, Mohamed Putera akan terus berusaha mencari mereka.

“Mereka (ibu bapa kandung) tinggalkan saya dapat keadaan baik, lengkap berselimut, sarung tangan serta sarung kaki bayi dan baju yang comel.

“Mesti mereka menantikan kelahiran saya dan pasti ada sebab mereka lakukan begitu,” katanya.

Mohamad Putera berkata, jika tidak dapat mencari ibu bapa kandung sekurang-kurangnya dia ingin bertemu dengan bidan kampung itu.

“Jika bukan kerana wanita itu jumpa saya, tidak tahu sama ada saya masih hidup atau tidak,” katanya.

Sumber- Harian MetroPutera Zainuddin via siakapkeli

Loading...